Tuesday, 24 April 2012

ISU: TEKNOLOGI VS REMAJA

Dunia hari ini memasuki era yang dipenuhi dengan penggunaan teknologi maklumat dimana jika kita perhatikan, perkembangan penggunaan internet semakin meluas seiring dengan kemajuan sesebuah negara. Perkembangan ini menyebabkan internet tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat malah mendorong manusia menggunakan teknologi yang ada ini untuk menjalankan tugas harian. Atas kesedaran ini, kerajaan berusaha gigih menerapkan penggunaan teknologi maklumat kepada generasi muda agar rakyatnya dapat bergerak seiring dan mampu bersaing dalam arus globalisasi pada masa kini. Ini merupakan inisiatif kerajaan untuk menjadikan ekonomi digital sebagai tulang belakang ekonomi negara kita.

Antara usaha yang dilakukan kerajaan ialah dengan menggabungkan teknologi dalam kurikulum diperingkat sekolah. Pelbagai kemudahan pendidikan berasaskan teknologi baru dan canggih disediakan kepada pelajar dan ini adalah sebagai satu daya usaha ke arah menyemai dan memupuk minat serta sikap positif terhadap perkembangan teknologi. Menurut Ab. Rahim, 1996 (dalam Noraien Mansor, 1999:15), pendidikan hari ini berkaitan rapat dengan bidang sains, teknologi, industri dan perdagangan sebab kita sedang berada dalam suasana yang penuh dengan penemuan-penemuan dan ciptaan-ciptaan baru dalam hampir ke semua bidang kehidupan. Selain itu, mencari ilmu pengetahuan demi kebaikan ummah sejagat adalah digalakkan dalam Islam.






Permasalahannya sekarang ialah cukupkah persediaan diri pelajar-pelajar sekolah, anak-anak muda remaja dan diri kita sendiri dalam mengikuti arus modenisasi ini? Mampukah kesempatan dan peluang yang diberikan ini digunakan dengan cara yang betul dan ke arah yang positif? Mari kita terokai dan kupas isu ini secara bersama.

Sememangnya komputer banyak membantu dari pelbagai segi dan mampu meningkatkan kemahiran seseorang dimana mereka bukan sahaja pakar dalam penggunaan komputer malah pantas dalam mengakses dan mencari maklumat melalui penggunaan internet. ‘Dunia ibarat dihujung jari’ , inilah kata-kata yang sering kali kita dengar dicuping telinga dan bertepatan dengan berkembangnya teknologi pada masa kini.

Tetapi, kita seringkali terlupa bahawa setiap kesempurnaan itu pasti ada kelemahannya kerana tiada apa yang sempurna didunia yang fana dan sementara ini. Mari kita renungkan secara bersama.

Obsesi terhadap teknologi kadang kala wujud dalam diri seseorang sama ada secara disedari atau tanpa disedari. Hal ini kadang-kala membuatkan seseorang itu menganggap dan meletakkan teknologi sebagai satu matlamat, lalu menjuruskan diri mereka ke arah kehidupan yang jauh dari landasan syariat seperti lupa,lalai dan alpa. Mereka menjadikan pembangunan teknologi sebagai agenda teras dalam kehidupan sehinggakan pembangunan insani terpinggir jauh dari dalam diri. Pendedahan yang terlalu banyak dan tidak ditapis boleh mendatangkan implikasi lain seperti eksploitasi terhadap maklumat atau perkara yang dipelajari ke jalan yang salah seperti bagi tujuan keseronokan seperti streaming dan chatting (Long, 2004:24).

Pada masa kini jika kita perhatikan krisis akhlak dan moral semakin menular dan merebak dalam masyarakat kita khususnya dalam kalangan remaja. Antaranya ialah seperti kes bohsia, hamil luar nikah, kes pembuangan bayi, penderaan, gangsterism, vandalism, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah dan mat rempit. Jika kita mengkaji perkembangan seseorang remaja dapat kita tafsirkan bahawa remaja ialah fasa dimana mereka suka mencuba perkara yang baru dan mudah terikut-ikut dengan apa yang mereka perhatikan.

Memang tidak dinafikan perkembangan teknologi mempunyai banyak manfaatnya, tetapi keburukan juga turut datang seiring dengan kebaikan atau manfaatnya. Jaringan luas yang diperkenalkan membuatkan seseorang itu boleh melayari sesuatu tanpa batasan dan tapisan. Disebabkan inilah remaja sekarang berpendapat bahawa tiada siapa mengetahui apa yang mereka lakukan atau saksikan dalam internet dan mereka bebas menggunakannya untuk tujuan-tujuan tertentu sehingga akhirnya timbul masalah sosial dalam kalangan remaja.

Masalah sosial? Apa yang dimaksudkan dengan masalah sosial ini ya? Masalah sosial sebenarnya sentiasa wujud dalam kehidupan ini dari dahulu lagi hingga sekarang cuma isunya sahaja yang berlainan. Jika kita perhatikan, pada masa kini masalah sosial dalam kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah semakin meruncing dan membimbangkan. Kita  sedar bahawa golongan remaja merupakan aset sesebuah negara dan bakal menjadi pemimpin di masa hadapan kelak. Merekalah yang bakal menjadi pemangkin  kepada pembangunan negara kita. Remaja sangat diperlukan oleh masyarakat dan negara kerana golongan ini merupakan golongan yang paling berharga serta harta yang tidak ternilai dan  pada mereka jugalah terletaknya masa depan negara. Ada pepatah menyebut bahawa ‘rosak remaja, pincanglah negara’. Kita tentu tidak mahu keadaan ini berlaku bukan? Justeru, teknologi yang tercipta indah oleh tangan manusia itu perlu ditatang sebagai alat untuk mencapai sesuatu yang murni, sambil memelihara kemurnian yang sedia ada dimana aspek budaya, bahasa, serta agama tidak seharusnya terhanyut akibat perkembangan teknologi yang begitu pantas ini. 
Maka, di sini saya ada menyenaraikan langkah-langkah yang perlu kita ambil perhatian agar permasalahan ini dapat dibendung daripada terus berleluasa.





Saya berpendapat bahawa keruntuhan akhlak yang membimbangkan dalam kalangan remaja pada masa kini berpunca daripada kurangnya penekanan terhadap budaya dan cara hidup Islam. Jika kita meneliti perkara ini, keruntuhan akhlak bukan hanya berlaku pada masa sekarang, malah sejak zaman Rasullullah s.a.w lagi dan disebabkan itulah Allah SWT mengutus Nabi Muhammad s.a.w untuk membimbing kita selaku umatnya ke jalan yang benar. Akhlak mulia yang ditunjukkan baginda menjadi ikutan dan akhlak baginda adalah akhlak yang paling baik sebagaimana firman Allah SWT :

                       Maksudnya: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik
                                             bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan)
                                             hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah ”
                                                                                                       (Al-Ahzab, 33: 21)






Saya berpendapat langkah pertama yang perlu diambil ialah tindakan dari orang yang paling rapat dengan 
remaja itu sendiri iaitu keluarga. Institusi keluarga memainkan peranan penting dalam membantu para remaja 
supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan internet. Perkara yang paling penting yang perlu 
dititikberatkan ialah mengenai pegangan agama. Dengan adanya asas agama yang teguh, remaja tidak akan 
sewenang-wenangnya terjerumus kepada perkara yang tidak baik. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w :

                              ‘’ Sesungguhnya setiap agama mempunyai akhlak. Akhlak Islam ialah malu”.
                                                                                                              (Riwayat Ibnu Majah)

Jika seseorang itu kuat asasnya dalam cara hidup dan syariat Islam, pasti seseorang itu berasa malu dan dapat menahan dirinya daripada melakukan perkara yang mengaibkan menurut pandangan syarak meskipun perkara tersebut tidak dikira aib oleh manusia. Perasaan malu yang terbit dalam diri seseorang individu membangkitkan seseorang untuk menjauhi perkara yang buruk. Sabda Nabi s.a.w:

                              ‘’ Iman mempunyai 60 lebih cabang. Malu adalah salah satu cabang iman’’.                                             
                                                                                                             (Riwayat al-Bukhari)





Ibubapa perlu mempunyai kemahiran mengasuh yang meliputi kefahaman terhadap jiwa remaja, menangani kesihatan mental dan emosi anak-anak muda serta penguasaan terhadap perkembangan terkini. Mereka perlu dididik bahawa jiwa remaja kini iaitu anak-anak zaman kini tidak sama dengan jiwa mereka sewaktu remaja dahulu kerana peredaran masa telah mencorak perwatakan yang berbeza berbanding sebelumnya . Pada zaman kini, interaksi dengan anak-anak tidak lagi bersifat sehala dan pandangan bahawa `ibu dan bapa kemudian anak-anak’ tidak lagi terpakai. Sebaliknya ialah ibubapa perlu memahirkan diri dengan cuba menjadi rakan kepada anak-anak mereka. Kemahiran seperti mendengar dan berbincang dengan anak-anak perlu dipupuk agar komunikasi antara dua hala lebih berkesan.




Seterusnya pihak sekolah juga harus memainkan peranan kerana sekolah ialah tempat dimana hampir separuh masa pelajar sehari-harian dihabiskan. Antara peranan yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah dengan membuat langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Aktiviti seperti menjalankan kempen atau ceramah kesedaran kepada pelajar sekolah amat digalakkan. Guru di sekolah pula perlu bertindak dengan bukan sekadar menjadi pembimbing kepada aspek akademik semata-mata, tetapi turut sama menjadi rakan dan pendengar yang baik kepada remaja. Sebenarnya, guru yang sentiasa diingati oleh remaja ialah guru yang boleh dibawa berbincang dan boleh bersama-sama membantu menyelesaikan masalahnya. Manakala, guru yang hanya pandai memerintah seseorang pelajar itu hanya akan diingati sebagai `pemerintah’ dan sukar untuk didekati maka hasilnya, arahan akademik bukan sahaja tidak dipatuhi, malah pemberontakan wujud antara pelajar dengan gurunya. Hal ini seterusnya menyebabkan minat pelajar terhadap proses pembelajaran akan menurun.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan dengan membanteras persekitaran yang tidak sihat agar seiring dengan usaha ke arah pembentukan remaja yang berkualiti. Contohnya seperti gejala remaja yang gemar menonton video lucah, hal ini tidak boleh dituding hanya kepada ibubapa dan guru sahaja tapi perlu dilihat dalam skop yang lebih luas lagi. Persoalannya, adakah ibubapa dan guru harus disalahkan, sedangkan bahan untuk tontonan lucah berlambak bebas di pasaran tanpa kawalan?




Media turut sama memainkan peranan yang penting dalam permasalahan ini dengan melakukan  penyekatan terhadap siaran yang berunsur negatif contohnya seperti aksi-aksi bersifat gangsterism, dialog pelakon yang berunsur lucah atau tidak sopan dan gaya pemakaian yang tidak bersesuaian dengan budaya kita dan syariat agama yang ditetapkan. Perkara ini perlu dipandang serius kerana mata yang melihat dan telinga yang mendengar pasti akan menimbulkan keinginan untuk mengikutinya tambahan pula pada awal usia remaja. Antara peranan yang boleh dilakukan ialah menonjolkan remaja yang berjaya sebagai motivasi untuk diteladani. Siaran-siaran mengenai kreativiti remaja haruslah diperbanyak berbanding liputan mengenai aksi dan perangai negatif agar minda remaja dapat dijana dan boleh berfikir dengan lebih matang dalam setiap tindakan yang mereka lakukan dalam kehidupan.

Sesungguhnya, pelbagai gejala negatif berleluasa di kalangan remaja hari ini berikutan penyalahgunaan internet. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama membanteras fenomena ini agar tidak timbul masalah sosioekonomi yang lebih serius. Masyarakat sekeliling perlu turut sama memainkan peranan dalam hal ini. Mengambil tahu bukanlah bererti menjaga tepi kain orang lain tetapi ia merupakan tanggungjawab kita sesama insan untuk saling ingat mengingati antara satu sama lain agar kita semua berada dilandasan yang betul dan mengikut syariat yang ditetapkan.



Akhir kata, wujudnya teknologi seharusnya membantu manusia mencapai sesuatu manfaat untuk dirinya, insan lain serta makhluk lain di dunia ini. Perkembangan sesuatu teknologi itu menunjukkan berkembangnya pemikiran umat manusia didunia dan setiap kurnia yang diberikan pasti ada hikmah disebaliknya untuk membuatkan manusia sentiasa berfikir dengan menggunakan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh pencipta kita. Maka setiap permasalahan yang timbul bukanlah penghujung segalanya kerana pasti ada jalan penyelesaian untuk mengatasinya. Pepatah ada menyebut, “ Dimana ada kemahuan, disitu ada jalannya".






12 comments:

  1. salam.
    Saya akui teknologi bukanlah satu perkara yang asing dan luar biasa pada hari ini.Pada asalnya, teknologi-teknologi yang sedia ada kini sememangnya bertujuan memberi manfaat kepada si pengguna. Namun, penyalahgunaannya semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja kerana kepincangan agama, didikan moral daripada ibu bapa dan guru serta kelalaian dan sikap lepas tangan pihak yang berkuasa.seperti yang kita sedia maklum, jiwa remaja adalah jiwa yang penuh dengan sifat-sifat inkuiri iaitu sifat ingin tahu. Jadi, apabila mereka terdedah dengan sesuatu yang baru seperti porno dan lain-lain,mereka akan lebih cenderung untuk mencuba aksi tersebut di dunia yang nyata.Hal ini bukan sahaja merosakkan akhlak dan akidah seseorang itu malah merosakkan bangsa dan negara.

    NOOR ATIKAH PISSAL (A128002)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas pandangan bernas saudari =)

      Delete
    2. Salam.
      Saya setuju dengan pendapat saudari. Sememangnya tidak dapat dinafikan, teknologi yang semakin canggih memberi banyak keburukan kepada masyarakat hari ini. Masalah sosial yang semakin meruncing pada masa kini sememangnya ada kaitan dengan teknologi. Tetapi, semua ini boleh dibendung sekiranya ibu bapa memainkan peranan mereka sebaik yang mungkin. Kebanyakan ibu bapa hari ini sibuk bekerja dan jarang menghabiskan masa bersama anak mereka. Kurangnya pemantauan daripada ibu bapa inilah menjadi salah satu faktor penyebab masalah sosial dikalangan pelajar. Kebanyakan mereka meletakkan tanggungjawab tersebut kepada guru di sekolah. Walaubagaimanapun, pada pandangan saya tanggungjawab ini merupakan tanggungjawab bersama. Setiap masyarakat haruslah bekerjasama dalam menangani masalah ini, bukannya hanya berpeluk tubuh dan menunding jari menyalahkan mana-mana pihak.

      Delete
    3. Terima kasih saudari =)

      Delete
  2. Asslamualaikum :)

    sememangnya tidak dapat disangkal bahawa teknologi dan remaja sering berkait rapat kerana kebanyakkan remaja suka menggunakan teknologi dan, segelintir daripada mereka menyalahgunakan teknologi yang sedia ada tersebut. mereka menggunakan teknologi sebagai medium untuk menyebarkan bahan-bahan lucah dan ini menjadi tontonan awam. gejala negatif ini tidak sepatutnya berlaku dikalangan anak-anak muda kita kerana ini jauh menyimpang dari ajaran agama kita. penggunaan teknologi banyak memberikan manfaat, tetapi jika kita salahgunakannya, ia akan membawa bencana kepada individu tersebut. kita mahukan anak muda kita menjadi seorang yang dapat berjasa kepada bangsa,agama dan negara kita. jadi ibu bapalah yang patut memantau aktiviti anak-anak mereka supaya mereka tidak melakukan gejala-gejala negatif yang berkaitan dengna teknologi pada masa kini.

    Nurfadhilah Mohd Farid
    A128040

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum..
    pada era zaman yang serba moden ini,teknologi seolah-olah menjadi satu kewajipan dan pengetahuan yang harus dikuasai oleh semua orang. tanpanya dunia seolah-olah tidak mampu untuk bernyawa. akan tetapi kebanyakan pelajar yang mahir menggunakan teknologi sudah pandai untuk menyalahgunakannya ke arah keburukan. justeru itu, untuk mengelakkan hal ini menjadi lebih buruk, pelbagai pihak haruslah berganding bahu untuk memperbaiki dan menangani masalah ini bersama bukannya dengan hanya menunding jari siapa yang bersalah. selain itu, pihak panitia sekolah juga haruslah mengambil langkah dengan menyekat kadar pengaksesan internet untuk laman-laman web lucah ataupun laman web yang boleh merosakkan minda para pelajar.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum...
    pada zaman yang penuh dengan cabaran ini, teknologi merupakan satu aset penting dalam mencapai kejayaan. boleh dikatakan tidak lengkaplah hidup seseorang itu tanpa teknologi. malahan seseorang yang tidak megikuti perkembangan teknologi umpama katak dibawah tempurung. namun begitu, penggunaan teknologi yang meluaskan kadang-kadag dapat memudaratkan keadaan seperti masalah sosial yang semakin merebak dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja. oleh itu, langkah pertama yang perlu dilakukan bagi menbendung penyalahgunaan teknologi bermulanya dengan pemantaun dari ibu bapa terlebih dahulu seterusnya melibatkan pihak-pihak tertentu seperti guru, rakan sebaya, pihak berkuasa dan juga pengusaha "cyber centre". kesimpulannya, kita seharunya buka mata dan pandang kehadapan bahawa setiap masalah adalah tanggungjawab bersama.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum..
    langkah yang perlu diambil untuk membendung masalah keruntuhan akhlak dalam kalangnan remaja adalah dengan memperbanyakkan aktiviti-aktiviti ilmiah yang kreatif, sebagai contoh mengadakan majlis-majlis agama yang bersesuaian dengan remaja. majlis-majlis ilmu seperti forum perdana, al hidayah adalah suatu contoh yang baik untuk dipraktikkan, namun begitu adalah lebih menarik sekiranya majlis ilmiah yang dianjurkan mempunyai unsur-unsur santai, mengandungi aktiviti yang remaja gemari sebagai contoh jungle tracking, outdoor games dan sebagainya. hal ini kerana remaja dewasa kini lebih tertarik untuk mengikuti aktiviti yang menyeronokkan. dari situ kita dapat menyuntik suatu intipati yang berguna sekaligus membendung masalah sosial.tq..
    SITI FATIMAHNUR BINTI jOHARI
    a127834

    ReplyDelete